'Si Tanggang Moden' Yang Tak Mahu Tuntut Jenazah Orang Tua



Pengasas Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, Muji Sulaiman merasa hairan dengan sikap segelintri anak-anak yang sanggup mengabaikan ibu bapa mereka.

"Saya pun tak tahu di mana silapnya anak-anak zaman ini. Sama ada didikan ibu bapa tidak betul, pergaulan tidak elok atau kesilapan dalam hubungan suami isteri hingga anak tergamak mengabaikan insan yang melahir dan membesarkan mereka.", kata beliau.

Menerusi laporan dari Harian Metro, Muji berkata kes Si Tanggang Moden semakin banyak sejak kebelakangan ini.

Lebih teruk, ada yang enggan menjenguk ibu bapa yang meninggal dunia di pusat jagaan itu biarpun berjaya di hubungi.

Kami tiada pilihan. Apabila tidak dituntut atau waris enggan bertanggungjawab, kami uruskan pengebumian mereka dengan ikhlas sebagai bakti terakhir kami kepada mereka,” katanya.

Muji menceritakan beberapa kes yang pernah berlaku di pusat jagaannya itu.

KES 1
Ibarat kucing kurap, Pak Cik Amran dibuang oleh anaknya di tepi jalan berhadapan Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas Puchong pada awal pagi.

Pak Cik Amran ditemui oleh penghuni rumah kebajikan yang ketika itu sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Selama dua tahun, Pak Cik Amran menghidapi penyakit angin ahmar atau stork dan badannya dipenuhi kudis.

Apa yang menyedihkan, tiada seorang pun anaknya yang datang menjengah biarpun dia menghembuskan nafas terakhir di situ.


KES 2
Diuji dengan penyakit yang sama dengan Pak Cik Amran, Mak Cik Zabedah ditemui di depan rumah jagaan itu sekitar 5 pagi dengan beberapa beg berisi pakaian.

Selepas 9 bulan mendiami rumah jagaan tersebut, akhirnya anak-anak Mak Cik Zabedah akur untuk mengambi kembali ibu tua itu selepas Muji berjaya menghubungi mereka selepas puas mencuba.


KES 3
Wanita yang dikenali sebagai Mak Cik Mami, 90, turut ditinggalkan oleh anaknya dengan beberapa beg pakaian.

Dia kini sudah 8 tahun tinggal di rumah jagaan itu dengan tubuh yang sihat namun nyanyik.

Setakat ini, tiada seorang pun anak Mak Cik Mami datang menziarah ibunya itu.


KES 4
Seorang wanita warga emas dihantar oleh anaknya ke rumah jagaan itu sebaik sahaja keluar dari Hospital Putrajaya kerana menghidap kanser.

Setelah dua tahun mendiami rumah berkenaan, tiada sekali pun anaknya itu datang menjenguk sehinggalah wanita tersebut meninggal dunia.

Sejurus wanita tersebut meninggal dunia, Muji menghubungi anaknya untuk memaklumkan khabar 'duka' itu namun malangnya, si anak memberitahu 'tak dapat datang' untuk menatap wajah ibunya buat kali terakhir, apatah lagi menguruskan jenazah.

Kerja amal oleh Muji, 56, yang juga seorang bekas jururawat hospital kerajaan bermula pada tahun 2000 apabila dia tidak sampai hati melihat warga emas ditinggalkan begitu sahaja selepas dibenarkan keluar dari wad selepas menerima rawatan.

Beliau kemudian membawa mereka pulang ke rumahnya di Putra Perdana, Putrajaya.

Pada 2003, Muji mengambil keputusan untuk menubuhkan pusat jagaan apabila penghuninya bertambah kepada 34 orang.

Selepas 13 tahun beroperasi, seramai 50 warga emas menghuni rumah itu dalam satu-satu masa.

Saya terkilan kerana kebanyakan anak langsung tidak mempedulikan kebajikan ibu bapa yang ditinggalkan di sini, jauh sekali mahu membayar perkhidmatan yang kami sediakan.

“Ada sesetengah penghuni mempunyai pencen tetapi si anak tidak menyalurkan wang itu ke rumah jagaan ini yang boleh digunakan untuk merawat ibu bapa mereka. Sebaliknya wang pencen itu digunakan anak untuk kegunaan sendiri.

“Ibu bapa terbabit tahu perkara itu tapi tak mampu menghalang sikap anak mereka,” katanya.

Ditanya kenapa beliau sanggup berkorban masa, tenaga dan wang untuk kebajikan golongan itu, Muji berkata:

Hayat orang tua bukan panjang mana. Apa salahnya untuk beberapa tahun yang pendek itu kita gembirakan mereka dengan menyediakan kelas mengaji, belajar agama dan solat berjemaah yang dipimpin imam di sini.

“Bagi mengisi sisa-sisa hayat, mereka dapat melengkapkan diri dengan ilmu agama supaya dapat mendekatkan diri kepada Ilahi, sekali gus melupakan kesedihan kerana dipinggirkan anak-anak,” katanya. 

0 Response to " 'Si Tanggang Moden' Yang Tak Mahu Tuntut Jenazah Orang Tua"

Catat Ulasan