

Pernah terpalit dengan konflik rumah tangga hingga timbul desas-desus kembali solo, penyanyi dangdut Ani Mayuni menegaskan isu itu hanya diperbesarkan atas kepentingan pihak tertentu.
Menurut Ani, ekoran konflik yang hampir memusnahkan rumah tangganya empat tahun dahulu, umum sering berteka-teki mengenai status perkahwinannya itu.
“Disebabkan pertelingkahan yang terjadi, mungkin ada yang beranggapan perkahwinan saya sudah terlerai. Masalahnya, tiada sesiapa yang benar-benar bertanyakan sendiri hal itu kepada saya.
“Saya hanya buat laporan polis tetapi tidak pula sampai naik ke mahkamah apatah lagi meminta cerai kerana berasakan rumah tangga kami masih boleh diselamatkan.
"Cerita itu hanya disensasikan oleh pihak tertentu untuk melarikan jualan produk mereka, tetapi saya faham dan tidak mahu menyalahkan sesiapa pun," katanya.
Ani ditemui pada sidang media pelancaran Persatuan Bintang Dangdut Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin.
Senang naik darah jika marah
Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 37, diberitakan pernah membuat laporan polis pada Februari 2012 kerana mendakwa dipukul dan ditendang oleh suaminya Zairi Azmi, bekas anggota kumpulan Arrow.
Ani dan Zairi mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2004 dan hasil perkongsian hidup itu dia dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wirda Viviana, 11, Wirna Airisya 7, dan Muhammad Emir Oezil, 6.
Titik hitam yang menjadi pengajaran dalam hidup itu dianggap dapat mematangkan fikiran, malah Ani lebih selesa mengambil pendirian tidak menuding jari kepada pasangannya.
“Saya menganggap kesalahan turut datang dari diri sendiri kerana tidak mahu memahami suami yang ketika itu baru pulang dari kerja dan kepenatan. Saya pula jenis mudah naik darah apabila ada yang marah.
“Ia turut memberi kesan kepada suami apabila namanya tercemar dengan insiden berkenaan,” katanya.

Kini Ani mengakui sedang melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia bersama anak-anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.
Dia merujuk konflik itu sebagai fasa mendalami sikap pasangan.
“Kejadian itu membuatkan kami lebih akrab dan mesra kerana sudah bijak menilai situasi. Berbanding dulu, sekarang nak tinggalkan suami dan anak di rumah untuk pergi membuat persembahan pun saya mudah berasa sayu,” katanya.
Walaupun jarang mendengar nama Ani di dada media, dia sebenarnya masih aktif dalam membuat persembahan di majlis tertentu dan menguruskan persatuan.
Dalam Persatuan Bintang Dangdut Malaysia itu, Ani dilantik sebagai setiausaha.
“Saya menyahut cabaran ini kerana inilah irama yang saya perjuangkan selama 21 tahun bergelar artis dangdut malah berazam untuk menggerakkan persatuan dan menaikkan semula irama itu di negara ini.
“Biasanya orang kenali artis dangdut suka berbalah, bermulut puaka saya mahu ubah itu semua dengan persatuan ini, kami tidak mahu sifat sebegitu.
“Syukur dengan adanya suami, dia banyak membantu dan menjadi orang paling memahami mengenai hal persatuan pula,” ujarnya berseloroh.
0 Response to " Ani akui bergaduh Didakwa dipukul dan ditendang oleh suaminya...PANAS!!"
Catat Ulasan