Fathia raikan teguran peminat... Dan Mungkin Dibenci, Ohh Kenapa Tu??







Menggalas imej sebagai selebriti berhijab bukan perkara yang boleh diambil ringan bagi pelakon popular Fathia Latiff.

Bagi Fathia, tampil dengan imej menutup aurat di mata ramai sebenarnya membuatkan dia berasa lebih ‘terdedah’ kepada pelbagai kemungkinan, termasuk persepsi salah.

Antara kemungkinan yang terpaksa dihadapinya ialah golongan yang gemar mencari kesalahan.

“Membawa imej bertudung tidak semestinya dapat mengelakkan diri daripada persepsi masyarakat.

“Ia memang boleh membuat seseorang itu lebih disayangi, tetapi dalam keadaan lain, seseorang itu mungkin semakin dibenci," katanya kepada Malaysiakini.

Fathia seorang model dan pelakon yang mencipta nama dengan watak Ummu Hani dalam siri drama televisyen Hani pada 2010.

Dia juga diingati dengan watak Nabila dalam siri popular televisyen,Nur Kasih pada 2009.

Katanya, seseorang - terutama selebriti - yang bertudung perlu menitikberatkan penampilan mereka supaya sesuai dengan imej dibawa.

Enggan salahkan sesiapa

Kegagalan berbuat demikian, kata Fathia, akan mendedahkan mereka kepada pelbagai kritikan.

“Bergelar artis menyebabkan seseorang lebih kerap dan mudah menjadi tumpuan masyarakat,” katanya.

Dalam hal ini, Fathia atau nama asalnya Nur Fathia Abdul Latiff, 28, tidak gemar menyalahkan sesiapa, sebaliknya dia yang turut berlakon dalam drama bersiri Ariana Rose menyedari, pandangan dilontarkan peminat wajar dipertimbangkan.

“Sudah menjadi lumrah untuk setiap manusia itu mudah menyedari kesilapan orang lain.

“Kita juga harus beringat, menjadi wanita bertudung tidak melepaskan seseorang daripada membuat kesilapan," katanya.

Justeru Fathia mengakui dia masih di peringat "belajar" dan tidak akan berhenti memperbaiki diri.

Teguran yang diterima, katanya, menjadi panduan untuknya berubah ke arah lebih baik.





Sebelum ini Fathia memang tidak bertudung. Namun pada April lalu dia mengumumkan untuk 'berhijrah' menerusi akaun Instagramnya.

Kata pelakon kelahiran Air Itam di Pulau Pinang itu, hasrat berkenaan bertapak di hatinya sejak dia menjalani penggambaran di New York, AS beberapa tahun lalu.

Menurut cerita Fatha, sejak awal pembabitan dalam dunia hiburan ramai peminat memintanya berhijab dan keinginan mereka disampaikan melalui ruang komen di Instagram.

“Namun ketika itu, hati saya masih belum terbuka untuk berbuat demikian.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang tidak jemu menegur saya dengan cara baik dan ikhlas," katanya.

Pun begitu, Fathia menegaskan alasan sebenar penghijrahan itu bukanlah kerana desakan orang ramai terhadap penampilannya sebelum ini.

"Keputusan mengubah penampilan itu dibuat kerana niat saya mahu mendapat keredaan Allah, bukan atas tekanan sesiapa," katanya.

Hikmah penghijrahan itu pula kata Fathia tidak dinafikannya.

“Dengan melakukan perubahan ini seolah-olah pintu rezeki semakin luas terbuka," katanya.

0 Response to "Fathia raikan teguran peminat... Dan Mungkin Dibenci, Ohh Kenapa Tu??"

Catat Ulasan