MELAKA: Mempunyai anak yang ramai kini bukan lagi tiket bagi seorang bapa untuk hidup bahagia di usia emas apatah lagi merasai kehidupan serba mewah.
Inilah realiti yang perlu dihadapi oleh seorang warga emas yang menghidap angin ahmar, Daut @ Kasim Jali, 81, yang terpaksa bekerja sendiri demi menyara kehidupan serta rawatan kesihatan setelah dipinggir tujuh anak kandungnya.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Daut yang dahulunya mewah sebagai pengusaha tiga stesen minyak serta dua ladang sawit dan ternakan ayam masing-masing berkeluasan 2.02 hektar sekitar Melaka, kini ibarat kais pagi makan pagi apabila wang simpanannya serta deposit overdraf perniagaan stesen minyak bernilai RM900,000 turut lenyap akibat ditipu oleh anak kandungnya.
Menurut Daut, aset yang bernilai lebih RM4 juta itu telah diagih-agihkan kepada tujuh anak*nya yang berusia 41 hingga 58 tahun untuk diusahakan secara berperingkat sejak tahun 70-an.
“Saya usahakan semua sejak berpuluh tahun namun, akhirnya saya tidak mendapat apa-apa.
“Saya kesal kerana anak-anak meminggirkan saya malah, nafkah sara hidup saya pun mereka tak beri, bagaimana saya hendak menyara kehidupan saya dengan pendapatan yang tidak seberapa sedangkan kos rawatan kesihatan tinggi.
“Saya terpaksa bekerja bersama rakan kongsi dengan menyewa tapak reban ayam di Rembau, Negeri Sembilan walaupun sakit, demi menampung perbelanjaan,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui di Pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) negeri, Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir, peguamnya, Mohd. Adli Ithnin dan Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz.
Daut dikurniakan empat anak lelaki dan tiga anak perempuan hasil perkongsian hidup bersama isteri pertamanya, Sofiah Ngah, 77.
Kata Daut, ketika dalam kea*daan sakit dan tidak berfikiran waras, dia telah diperdaya oleh salah seorang anaknya dengan menukar segala hak milik pega*ngan saham syarikat Daut Ploutry Farm Enterprise ke atas nama anaknya itu.
Ini termasuklah ladang ternakan ayam daging, sebuah rumah di Cheras yang dibeli dengan harga RM600,000 serta akaun simpanan semasa syarikat itu bernilai RM100,000.
Selain itu, Daut turut kehilangan deposit overdraf perniagaan stesen minyak bernilai RM800,000.
Kata Daut, kini dia hidup menumpang kasih dengan isteri kedua yang dikenali sebagai Rokiah, 63, serta tujuh anak tirinya di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah.
Daut berkata, dia kini menuntut nafkah sara hidup sebanyak RM20,000 daripada anak-anaknya selain hasil perniagaan ladang ayam yang dikira dari jumlah anak ayam yang masuk ke reban, hasil pendapatan kelapa sawit (RM1,500) setiap kali tuaian serta setengah daripada hasil jualan rumah di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Adli berkata, kes tersebut akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada 20 Januari ini pukul 9 pagi.