Batman v Superman Dua Watak Gagal, Kini Hebat Dipawagam Kerana......5 Foto






Tiga puluh lima riyal - itu harga tiket yang perlu dibayar untuk menonton Batman v Superman di Qatar.

Tamat tayangan dan saya keluar panggung dengan senyuman hingga ke telinga. Hati puas, perut pula kenyang berisi bertih jagung berkaramel (yang tak berapa nak ada karamel).

Terlebih dulu, saya mahu menuliskan ini: Gabungan Hans Zimmer dan Junkie Xl sangat berkesan. Ketika ulasan ini saya tulis, di telinga masih terngiang-ngiang gema muzik latar filem itu di telinga.

Sekali lagi Zack Snyder memberikan sentuhan cukup berkesan selepas The Watchmen pada 2009. Apabila Snyder mengekalkan atmosfera gelap seperti filem sebelumnya, ia sedikit pun tidak mencacatkan keseluruhan Batman v Superman.

Pujian pertama yang harus diberikan adalah barisan pelakon kerana berjaya membawa watak masing-masing dengan berjaya.

Pintar manipulasi fakta

Walaupun pada mulanya saya agak skeptikal dengan kemampuan Ben Affleck melakonkan watak Batman, namun selepas menonton sendiri filem ini saya tidak sangka Affleck berjaya melakukannya.

Malah, sebenarnya Affleck mungkin sangat berjaya membawa watak tersebut.




Filem ini memaparkan satu sisi gelap untuk dua watak utama, Batman dan Superman.

Batman dengan ketakutannya terhadap kemusnahan dan kematian, manakala Superman dengan keraguan dan kebuntuan menentukan hala tuju penggunaan kuasa luar biasanya.

Kelemahan itu berjaya dieksploitasi watak jahat Lex Luthor lakonan Jesse Eisenberg. Di sinilah keunikan filem ini - apabila dua gergasi berjaya ditawan hanya dengan manipulasi fakta.

Demikianlah hidup. Dengan kemahiran tertentu seseorang boleh mendapat kelebihan dengan hanya memanipulasi fakta.

Memang itulah yang berlaku pada hari ini apabila pelbagai berita kita tatap tanpa mampu lagi kita pastikan dengan kukuh apakah kebenarannya. Dan sejarah pula bercerita bahawa manipulasi adalah antara punca utama kebangkitan atau kejatuhan sesuatu rejim.

Dalam bahasa populis, itulah antara inti yang disampaikan dalam filem ini.

Snyder berjaya memaparkan kekecamukan dan pergolakan dalam hati manusia. Mampukah manusia menjalankan tanggungjawabnya sebagai manusia, atau dia akan terpengaruh ke dalam kejahatan ketika proses tersebut?

Dan obsesi yang melampau itu memang biasanya membinasakan. Ia bukan saja menutup mata hati daripada melihat kebenaran, malah ia akan menuntut korban.

Halusnya Wonder Woman

Itulah yang terjadi kepada Batman. Watak adi wira itu diajar bahawa bukan mudah menjadi si pengubah dunia.

Terdapat pelbagai sisi yang boleh dipandang dari filem ini. Selain sudut politik dan kemanusiaan, sisi agama juga mempunyai perspektifnya.

Snyder menganjurkan pertanyaan secara tidak langsung tentang keperluan penyelamat untuk membawa manusia keseluruhannya keluar daripada kebinasaan.

Itulah ikoniknya Superman, yang kononnya figura penyelamat. Adakah ia suatu propaganda? Jawapan akan diperoleh bergantung kepada dari sisi mana anda melihat filem ini.

Sementara itu Perkenalan watak-watak DC Justice League dilakukan dengan halus sehingga kehadiran Wonder Women diketengahkan dengan cara yang minimal.

Anehnya, Wonder Woman berjaya disebatikan dalam filem ini dengan lancar.

Bukan itu sahaja, kedua watak utama filem ini dibiarkan tanpa sentuhan yang ketara dan berjaya berdiri sendiri hasil skrip yang baik, memek muka emotif dan renungan mata yang berkesan.

Memang ada banyak pandangan negatif dilontarkan untuk filem ini.

Begitulah hidup, kadang-kadang kita terlalu mengharap sesuatu dan apabila ia tidak menjadi, kita kecewa lantas melabelkan ia sebagai "gagal".

Hakikatnya jika diberi peluang melihat perkara itu dari sudut berbeza, ianya tidaklah seburuk yang disangka.

Itulah yang terjadi pada Batman di tangan Snyder.

Dan mungkin itulah yang berlaku pada sesetengah penonton apabila mereka menganggap Batman v Superman gagal.





MUHD IQBAL mekanik kapal terbang dan pakar bateri pesawat udara yang berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Doha. Gemar mengisi masa sunyi dan lapang di negara asing dengan menonton filem serta menulis.



KOMEN


PERINGATAN

0 Response to " Batman v Superman Dua Watak Gagal, Kini Hebat Dipawagam Kerana......5 Foto"

Catat Ulasan